Seorang Muslim mesti memelihara lidahnya daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu-domba.
Nabi Muhammad saw memberi banyak ingatan mengenai perkara itu. Antaranya sabda Baginda bermaksud: "Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Rasulullah juga bersabda bermaksud: "Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji." (Hadis riwayatat-Tirmizi).
Pesan Rasulullah lagi bermaksud: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklahkesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya."(Diriwayatkan oleh Baihaqi).
Imam Nawawi ketika membicarakan hal yang sama berkata:
"Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripadasebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan.
"Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri. H al ini kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.
"Kejadian demikian telah banyak berlaku, tetapi kebaikan daripadanya adalah jarang."
Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis di atas membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan, maka adalah lebih baik berdiam diri saja.
Rasulullah ditanya mengenai kelakuan yang paling banyak memasukkanseseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak." Ketika Baginda ditanya apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka? Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan."
Nabi Muhammad lagi bersabda lagi bermaksud: "Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang), maka Allah akan menutup kecelaannya (hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya." (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).
Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya, Rasulullah bermaksud : "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya."
Begitulah pentingnya seseorang itu memelihara lidahnya daripada percakapan yang buruk, keji dan tidak mendatangkan faedah. Allah mengurniakan umatnya dengan sebaik-sebaiknya nikmat. Oleh itu, nikmat lidah yang diberikan, hendaklah digunakan ke jalan yang diredai-Nya.