Allah Yang Maha Berkuasa telah menciptakan manusia berpuak-puak dan pelbagai bangsa untuk mereka lebih kenal mengenali antara satu sama lain. Sudah menjadi fitrah alam, manusia tidak hidup sendirian. Mereka dikelilingi oleh keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai dalam memudahkan mereka melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Persahabatan yang menyebabkan tercetusnya rasa kasih sayang sesama manusia amat dituntut dalam Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah" (mafhum al Quran). Islam telah menggariskan seseorang yang bersahabat dengan seseorang yang lain adalah kerana beberapa tujuan tertentu. Diantara tujuan-tujuan tersebut ialah :
a. Seseorang yang bersahabat kerana zat sahabatnya seperti cantik paras rupa. Persahabatan ini tidak akan menguntungkan dalam pembentukan peribadi kerana paras rupa suatu yang baru dan akan berubah mengikut peredaran masa.
b. Seseorang yang bersahabat kerana maslahat (kepentingan) di dunia.Persahabatan dalam kategori ini akan bersahabat semata-mata untuk mendapat nikmat keduniaan seperti kekayaan dan pangkat sahaja.
c. Seseorang yang bersahabat kerana maslahat (kepentingan) di akhirat. Persahabatan ini adalah untuk akhirat seperti bersahabat dengan orang yang berilmu untuk mendapatkan ilmunya supaya mudah beribadat kepada Allah dan mengikuti segala suruhan-Nya. Golongan ini akan mendapat keuntungan di dalam hidupnya dan golongan ini diibaratkan seperti orang yang menghadiri majlis ilmu. Walaupun tidak mendapatkan keseluruhan ilmunya tetapi sedikit ilmu yang didapatinya sudah mampu untuk dijadikan panduan hidupnya.
d. Seseorang yang bersahabat kerana Allah. Allah telah memerintahkan supaya di antara hamba-hambaNya hendaklah ada yang kasih mengasihi seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Golongan ini adalah golongan yang terbaik dan sentiasa hampir dengan Allah. Bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak iaitu :
1. Pemerintah yang adil.
2. Orang muda yang sentiasa beribadat kepada Allah.
3. Seorang lelaki yang hatinya sentiasa tergantung dengan masjid.
4. Dua orang yang bersahabat dan berbuat kebajikan kerana Allah.
5. Orang yang ingat kepada Allah di waktu sunyi hingga mengalir air matanya.
6. Lelaki yang menolak ajakan perempuan yang mempunyai kedudukan dan kecantikan untuk melakukan maksiat.
7. Lelaki yang bersedekah dengan tidak menghebahkannya kepada orang lain." (mafhum hadis).
Dan dalam memilih sahabat, Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu kerana seseorang itu akan dinilai melalui siapakah sahabatnya.
Seterusnya sahabatnya dapat menjadi cermin bagi dirinya dan begitulah sebaliknya. Untuk mencari sahabat yang dapat menjamin kehidupan yang lebih bermakna, ikutilah syarat-syarat berikut :
a. Hendaklah bersahabat dengan orang yang berakal kerana bersahabat dengan orang yang jahil atau kurang akal akan menjerumuskan diri kearah keburukkan seperti seseorang yang sabar akan menjadi cepat marah atau sebagainya.
b. Hendaklah bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia kerana sahabat yang berakhlak mulia akan menyelamatkan diri kita sebagaimana pesanan Alqamah kepada anaknya: "Jika engkau ingin bersahabat, carilah sahabat yang boleh membantu di waktu kesusahan, yang boleh menyembunyikan keaiban dan kesalahan yang dilakukan, yang menolong di waktu kesempitan, yang akan membalas kebaikanmu dengan kebaikan juga, yang membenarkan katamu selagi engkau berkata benar dan yang akan menyebelahimu apabila berlaku perbalahan".(mafhum riwayah) Dan kerana itu jugalah Jaafar As-Siddiq r.a berkata : "Janganlah engkau bersahabat dengan lima golongan ini iaitu orang yang banyak berdusta, orang yang kurang akal, orang yang kedekut, orang yang penakut serta orang yang fasik. (mafhum riwayah)
c. Hendaklah bersahabat dengan orang yang baik hati dan beragama iaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. Islam menegah bersahabat dengan orang yang fasik kerana akan menyebabkan seseorang itu akan meringankan perbuatan maksiat dan tidak berusaha menegah perbuatan tersebut apabila berlaku di dalam masyarakat. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: "Seseorang itu akan mengikut agama kekasihnya dan mengikut akhlak sahabatnya, maka tiliklah siapakah yang engkau akan jadikan sahabat dan kekasihmu itu". (mafhum hadis)
d. Hendaklah bersahabat dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dilarang bersahabat dengan ahli bid`ah seperti ahli Muktazilah kerana ia merosakkan agama, sedangkan berpegang kepada ajaran agama adalah satu kemestian dan tiada tolak ansur dalam perkara menolak kerosakan agama ini.
e. Hendaklah bersahabat dengan orang yang tidak condong kepada kemewahan dunia yang berlebih-lebihan (zuhud). Bersahabat dengan orang yang hanya memikirkan dunia akan menyebabkan kita melupakan agama dan kehidupan akan datang di akhirat kelak. Akhirnya akan memberi kemuliaan di dunia yang tiada kesinambungannya dengan akhirat.
f. Hendaklah bersahabat dengan orang yang benar, cerdik, amanah dan banyak berzikir kepada Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
"Janganlah kamu ikuti orang yang kosong (lalai) hatinya daripada mengingati. Aku dan orang yang mengikut hawa nafsunya sahaja".(mafhum)
Adab-adab Bersahabat
a. Seseorang yang menjalinkan persahabatan hendaklah saling mengutamakan kepentingan sahabatnya dengan harta, tenaga, kepandaian dan sebagainya disamping memenuhi keperluan masing-masing tanpa dipinta.
b. Teguh menyimpan rahsia dan keaiban sahabatnya samada di hadapan atau di belakangnya.
c. Sentiasa menjaga percakapan masing-masing dengan kata-kata yang menggembirakan dan sentiasa hormat menghormati di antara satu sama lain.
d. Memanggil nama sahabatnya dengan nama yang disukai oleh sahabatnya.
e. Bersedia untuk memaafkan kelemahan dan kesalahan dengan cara yang disenangi. Seperti tidak memarahinya tetapi sebaliknya memberikan nasihat dan teguran yang baik.
f. Mendoakan sahabatnya agar sentiasa di dalam petunjuk dan mampu menunaikan amanah semasa hidup atau matinya.
g. Berusaha meringankan beban keluarganya semasa adanya atau setelah ketiadaanya.
h. Tidak memberatkan sahabatnya dengan bebanan yang menyulitkan serta bersedia untuk sama-sama menghadapi kegembiraan atau kesedihan dan sentiasa berbuat baik kepadanya.
i. Tidak memotong percakapannya ketika dia sedang bercakap dan mendengar sehingga selesai percakapannya.
j. Sentiasa mendahuluinya memberi salam dan memberi penghormatan padanya apabila dia meninggalkan majlis. Luqmanul Hakim berpesan kepada anaknya : "Wahai anakku, duduklah engkau berhampiran ulama` kerana hati akan hidup dengan hikmah iaitu ilmu yang memberi manfaat di akhirat seperti bumi subur apabila dibasahi hujan". (mafhum riwayah)
Mutiara Kata
" Dan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. " (QS. 65:3)
2 comments:
mohon share ye... syukran...~~
alhamdulillah.. silakan..
Manfaatkan ia..
Post a Comment