Namun, di sebalik nama glamor atau pelik yang cuba didaftarkan dalam sijil
kelahiran, tidak semua nama sebenarnya boleh diberikan kepada anak dengan
sewenang-wenangnya.
Sebagai contoh nama yang tidak digalakkan didaftarkan dalam sijil
kelahiran ialah seperti Bulat, Buang, Pungut atau juga Tumpang, di samping nama
gelaran keturunan bagi yang layak saja.
Syed, Sharifah, Nik,Wan, Raja dan Tun adalah antara nama gelaran
istimewa yang diberikan oleh jalur keturunan seseorang, di mana ia begitu
dijaga supaya kemuliaan nama gelaran itu kekal terpelihara ke generasi akan
datang.
Walaupun berbau `agak perkauman’, masyarakat hari ini sedar dan
bersikap terbuka dengan senario perkahwinan sesama gelaran sebagai
kesinambungan kepada budaya dan susur galur keturunan.
Namun, di sebalik keistimewaan nama gelaran ini, ada juga masyarakat
yang bertindak ‘menggugurkan’ atau dengan lebih tepat lagi menukar nama gelaran
yang dimiliki dengan nama biasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jainisah Mohd Noor, berkata Jabatan
Pendaftaran tidak menghalang mana-mana individu yang berhasrat untuk menukar
identiti seseorang sekiranya nama asal mereka mempunyai maksud yang kurang
baik.
“Tetapi, tidak sewenangnya seseorang untuk menukar nama. Sebagai contoh
mereka perlu mendapat pengesahan surat
dari Jabatan Agama Islam atau mana-mana pertubuhan agama dianutinya sebagai
bukti menyokong permohonan pertukaran nama berkenaan.
“Di samping itu, individu berkenaan juga perlu mengangkat sumpah yang
mengesahkan tindakannya untuk menukar nama baru, sebelum kes berkenaan dirujuk
ke Jabatan Pendaftaran untuk tindakan susulan,” katanya kepada i-Kon.
Beliau berkata, sebaik proses mengangkat sumpah selesai, individu
terbabit sendiri perlu hadir untuk mengisi borang pindaan butiran membawa
sekali butiran peribadi seperti kad pengenalan asal dan kelahiran. Katanya,
sebaik segala proses pertukaran nama selesai barulah permohonan pertukaran nama
disahkan oleh Jabatan Pendaftaran dalam tempoh tertentu.
Ditanya mengenai permohonan individu yang inginkan gelaran nama
tertentu seperti Syed, Sharifah, Wan, Nik atau sebagainya, Jainisah berkata,
gelaran nama keturunan itu tidak boleh diberikan sebarangan kecuali jika ia
dapat dibuktikan menerusi susur galur keturunan dalam keluarganya.
“Sebagai contoh, Nik dan Wan. Nama ini tidak boleh didaftarkan individu
yang tiada kena mengena dengan keturunan nama ini.
“Mengenai nama unik pula, kebanyakan permohonan nama sedemikian
didaftarkan di Sabah dan Sarawak yang
mempunyai banyak etnik kaum,” katanya yang menyatakan Jabatan Pendaftaran
Negara tiada halangan bagi seseorang yang ingin mendaftarkan nama asalkan ia
tiada maksud yang tidak baik.
Apa yang pasti, tidak kiralah pangkal nama individu itu kedengaran
‘pelik’ seperti Puteh, Khamis, Tumpang, Pungut mahupun Buang atau juga nama
gelaran keturunan seperti Tunku, Tengku, Syed, Syarifah, Wan, Raja dan Nik
kerana yang pasti keperibadian dan tingkah laku lebih mendapat perhatian.
Syed/Sharifah = Dosa/pahala berganda?
BENARKAH ini? Seorang rakan dari keturunan Syed, Sharifah berkata,
keturunan Syed/Sharifah, kalau buat baik, pahala akan digandakan, begitu juga
jika membuat dosa. Semuanya dikira double!
Mengapa? Entahlah, jawabnya tetapi kata rakan tadi, inilah yang
diperturunkan kepadanya oleh keluarga. Adakah kerana mereka keturunan pewaris
nabi, maka segala-galanya dikira `lebih’?
“Tidak. Tiada beza keturunan Syed, Sharifah dengan orang Islam yang
lain. Dosa, pahala yang diterima sama saja
seperti umat Islam yang lain walaupun mereka keturunan Rasulullah.
“Dalam hadis ada menyebut, Rasulullah pernah menyatakan
kepada Fatimah bahawa baginda tidak mempunyai hak untuk membantu anaknya itu
biarpun haknya sebagai Rasulullah,” kata Pensyarah Pusat Pemikiran dan
Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Maznah Daud.
Begitu juga dengan anggapan keturunan ini mendapat dua
syafaat di akhirat. Reputasi keturunan ini memang diakui dan kemuliaan keluarga
mereka terjaga tetapi tidaklah sehingga mereka mendapat kelebihan ini. Jika
mereka tidak beribadat dan tidak patuh pada ajaran Allah, mereka tetap menerima
seksaan Allah yang keras.
Satu lagi perkara yang paling sinonim dengan keturunan
ini ialah perkahwinan sesama keturunan. Banyak kes, perhubungan tidak direstui
keluarga kerana anak-anak memilih calon di kalangan `orang biasa’. Hakikatnya,
kata Prof Madya Maznah, walaupun mereka diakui kemuliaan keturunannya, tidaklah
hingga golongan ini tidak boleh berkahwin dengan orang biasa.
Jika disorot sejarah silam, Baginda Rasulullah juga
mengahwini orang biasa, malah seorang isterinya Sofiah adalah daripada bangsa
Yahudi. Malah anak-anak baginda juga berkahwin dengan orang biasa. Seperkara
lagi yang dikaitkan dengan keturunan ini ialah mereka tidak boleh menerima
sedekah atau zakat.
Apa ada pada nama?
MEMILIKI nama dengan gelaran istimewa pasti memberi
kelebihan, dan tidak kurang juga ‘tekanan’ khususnya bagi wanita yang dikatakan
perlu bertemu jodoh dikalangan keturunan mereka semata-mata.
i-Kon cuba ‘menyelami’ identiti mereka yang mempunyai
pangkal nama istimewa yang tidak dimiliki sebarangan orang dan berkongsi
pandangan mengenai identiti mereka, asal usul keturunan dan pendapat mereka
mengenai perkahwinan dalam keturunan mereka.
Nik Norma
PENUNTUT Ijazah Doktor Falsafah University of
Canterbudy, New Zealand, Nik Norma Nik Hasan berbicara mengenai nama
keluarganya yang mempunyai pangkal nama Nik di hadapan. Kata Nik Norma, dalam
susur galur keluarganya mempunyai banyak gelaran nama dalam keluarga seperti
Tengku, Tunku, Engku, Raja, Tuan, Che dan Nik, sekali gus mewarnai keturunan
keluarganya.
Namun, beliau sendiri tidak dapat memastikan yang
gelaran Nik pada nama keluarganya adalah dari kalangan keluarga di raja
walaupun neneknya mempunyai gelaran Tengku. “Saya mewarisi nama Nik daripada
ayah iaitu Nik Hasan Nik Yusuf walaupun ibu saya tidak mempunyai gelaran Nik.
“Apa yang saya difahamkan, gelaran Nik akan lupus dengan
sendiri jika wanita bergelar Nik berkahwin dengan lelaki ‘biasa’,” katanya.
Namun, katanya ada juga lelaki Nik yang tidak meneruskan tradisi meletakkan
pangkal nama Nik pada anak mereka seperti yang dilakukan oleh bapa saudaranya.
Apakah asal usul Nik?
“Dari apa diceritakan kepada saya, pada zaman Puteri
Saa’dong (di selatan Thailand), ada seorang raja memerintah tidak memiliki
cahaya mata. Justeru, raja berkenaan mengambil anak angkat lelaki.
“Seorang diperoleh dari buluh betung manakala seorang
lagi daripada mulut ikan sebelah. Jadi, gelaran nama Nik ini diberikan kepada
mereka sebagai membezakan dengan gelaran kerabat di raja lain,” katanya yang
sehingga hari ini tidak pernah menikmati hidangan rebung dan ikan sebelah
kerana kepercayaan yang mengatakan keturunan Nik tidak boleh menikmati kedua
hidangan berkenaan.
Nik Norma berkata, dari kajian dari buku yang
dilakukannya, ada juga pendapat yang mendakwa gelaran Nik berasal dari nama
Tengku sekitar kurun ke-18 hingga ke-19 dan diteruskan sehingga kini. “Malah,
ketika kakak saya ingin bersalin dia dikehendaki membentang kain kuning kerana
dikatakan mudah ketika bersalin,” katanya yang gembira kerana memiliki gelaran
Nik dan berharap dapat meneruskan tradisi nama gelaran itu kepada anaknya pada
masa akan datang.
Aida
BERBEZA pula dengan Aida S Kadir, 36 yang tidak
meletakkan nama Sharifah di pangkal nama, sedangkan bapanya adalah dari
keturunan Syed. Nama sebenar bapanya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir.
Kata Aida, susur jalur keturunan gelaran Syed dalam
keluarganya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir bin Sheikh @ Syed Omar bin Tunku
Syed Abdul Rahman al-Qadri (Pembesar Linggi Negeri Sembilan) – pembesar Melayu
zaman British.
Namun, bapanya juga tidak meletakkan nama Syed dengan
alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk kelebihan dan keistimewaan nama dimiliki keluarganya
itu. Bagaimanapun, kata Aida, dua abangnya mengangkat sumpah untuk mendapatkan
semula gelaran Syed dengan alasan untuk memelihara keturunan Syed pada generasi
akan datang.
“Dari cerita bapa, saya dari keturunan al-Qadri dari
Riau Sumetera, suku sakat yang membuka Negeri Sembilan. “Walaupun saya tidak
memegang gelaran Sharifah, dua anak kembar saya yang berusia dua tahun
dinamakan Putri iaitu Putri Maryam Idez Azlisham dan Putri Khadijah Idez
Azlisham,” kata anak keempat dari lima beradik ini.
Info JPN
JPN hanya membenarkan nama yang panjangnya sehingga 94
aksara sahaja.Ini termasuklah nama bapa, perkataan bin, binti, a/l, a/p atau
anak, koma dan sengkang.
Pendaftaran nama anak perlu dilakukan dalam tempoh 14
hari dan boleh dikenakan denda RM5 bagi pendaftaran lewat iaitu antara 15
hingga 42 hari.
Pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh
setahun saja selepas pendaftaran nama anak.
NAMA YANG DITEGAH ATAU DILARANG
Nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan
Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Seri, Dato Seri, Datuk
Paduka, Datuk Patinggi, Datuk Wira Jaya, Datuk Bentara Dalam, Datuk Bentara
Luar.
Nama pangkat atau jawatan
Haji, Nabi, Imam, Rasul, Mufti, Ketua Menteri, Kadi,
Perdana Menteri, Gabenor, Sarjan, King, Hakim, Permaisuri, Guru, Ustaz, Shahbandar,
Ustazah.
Gelaran keturunan
Syed, Sharifah, Tunku, Tengku, Nik, Wan, Raja
Nama profesional
Doktor (Dr), Ir (Engineer), Professor, Akauntan, Audit, Diplomat
Nama kepahlawanan
Mahaguru, Pahlawan, Pendekar, Panglima, Bomoh, Pawang, Dukun, Satria
Nama lucah atau yang lucah bunyinya
Nonok, Bontot, Bola Besar, Kote, Faraj, Shahwat, Zina, Kopek, Pundek,
Punat, Khalwat, Zakar, Kulup, Coli, Liwat
Nama-nama buruk
Buruk, Malang ,
Sial, Derita, Haram, Pungut, Hapak, Baruah, Bunting
NAMA YANG TIDAK SESUAI
Nama binatang atau serangga
Babi, Monyet, Keldai, Rimau, Lipan, Buaya, Belalang, Semut, Ular
Nama buah-buahan, sayursayuran, tumbuhan, makanan
Ciku, Pisang, Keladi, Kucai, Terung, Karet, Serai,
Jintan, Kunyit, Halia, Bawang Merah, Kelapa, Santan, Lidi, Nasi, Bubur,
Ketupat, Laksa, Sirap, Cendol, Lempeng, Daun.
Nama-nama lucu
Kecut, Kutai, Kuyok, Boyak, Kudung, Pendek, Panjang,
Tinjau, Apek, Lonjong, Kuding, Tunggal, Sinon, Ketiak, Leper, Kemek, Janggut,
Tanduk, Kerepot
Nama-nama kejadian alam
Gunung, Salji, Suria, Pelangi, Awan, Bintang, Bulan, Guruh, Petir,
Panas, Hujan, Bumi, Langit, Gelombang, Laut, Batu, Angkasa Nama-nama alat
perkakas lSenduk, Piring, Mangkuk, Cawan, Katil, Tilam, Garpu, Tingkap, Pagar,
Lesong, Berus, Parang, Tajak, Golok
Nama-nama warna
Hitam, Putih, Jingga, Merah, Coklat, Kuning
Nama-nama huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya
D, K, P, Z, 001, 007, K 7, K 4, Zerozero Seven
Nama perhiasan atau pakaian
Cincin, Subang, Anting-anting, Mutiara, Benang, Kain, Baju, Rantai,
Seluar, Kasut
PERKATAAN ARAB YANG MAKNANYA TIDAK ELOK
Narul (neraka), Zaniah (penzina perempuan), Zani (penzina lelaki),
Khinzir (babi), Zakar (kemaluan lelaki), Faraj (kemaluan perempuan), Wati
(persetubuhan).
NAMA INDIA
YANG TIDAK ELOK MAKNANYA
Ammakannu, Andayan, Annachi, BatumalaiBotha, Baby, Ettikkan, Idache,
Idayan, Kalavani, Kali, Karuppan, Kathammah, Madasamy, Mottayan, Muthammal,
Mukayi (Mookayee), Mooli, MachappuPapa, Prayasamy, Periyannan, Sadachi,
Sigappi, Sinnayee, Sengan, Satan, Sembu Setty, Thambi, Kulli, Thangachi,
Udukayee, Uthandy, ValuVellayan, Valoo.
NAMA CINA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA
Hokkian
Ah Chaw (ular), Ah Goo (kerbau), Ah Gong (orang gila), Ah Kooi (hantu),
Ah Loo (keldai)
Kantonis
Ah Seh, Ah Nyau, Sor Chai, Ah Kwai
Mandarin
Ar Ser, Ar New, Ar Ngong, Ar Kwe, Ar Loo
Sumber : http://feryco.com/rahsia-di-sebalik-pangkal-nama-menurut-islam
No comments:
Post a Comment