Seseorang yang sudah tidak tertahan lagi dengan karenah isterinya mendatangi Syaidina Umar untuk mengadu. Apabila dia sampai di muka pintu terdengar olehnya suara isteri baginda marah-marah dan tidak kedengaran suara Syaidina Umar menjawab. Berkatalah dia di dalam hatinya; kalau beginilah keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, betapalah lagi keadaanku.
Tiba-tiba Syaidina Umar keluar lalu memanggilnya, “Apakah hajat kamu?” tanya baginda. “Ya Amirul Mukminin. Aku datang untuk mengeluh keberanian dan cerewetnya isteriku, mendadak aku dengar isterimu juga begitu. Malah terfikir olehku, kalau begitu keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, begitu lebih-lebih keadaanku.”
Kata syaidina Umar, “Hai saudaraku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteriku padaku; dia seorang tukang masak makananku dan pencuci pakaianku, dan yang menyusu anakku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hatiku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”
Setelah agak lama terdiam berkatalah orang itu; “Kalau begitu, aku pun begitu juga mengenangkan hidup kita di dunia ini pun tidaklah lama.”
-Dari kitab Irsyadul’Ibad IIasabilirrasyad-
No comments:
Post a Comment