KAUM hawa adalah kejadian makhluk Allah paling banyak mendapat sorotan dan perhatian. Kerana itu, banyak sekali buku yang telah ditulis oleh para ulama tentang wanita, Bahkan di dalam Al-Quran, ada satu surat yang diberi nama An-Nisa (wanita). Di samping itu, kita juga kenal pasti wujud pergerakan wanita yang memperjuangkan hak-hak wanita, kesamarataan antara lelaki dan wanita dan sebagainya. Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab para pendakwah menerangkan konsep Islam tentang wanita agar tidak menimbulkan salah faham terhadap wanita. Malahan kini isu wanita banyak diperkatakan termasuk hak mereka.
Dr. Yusuf Qarhawi dalam pengantar buku Qadhaya Al Mar'ah yang ditulis oleh Syaikh Muhammad Al Ghazali menyatakan bahawa ada dua jenis tradisi yang menyelusup ke dalam Islam. Pertama, tradisi yang diwariskan sejak masa kemunduran peradaban Islam ketika ajaran-ajaran benar yang dibawa Nabi s.a.w. telah tersembunyi dan digantikan oleh tradisi yang dibuat oleh fikiran dan nafsu manusia.
Kedua, tradisi yang datang bersamaan dengan pengumpulan pemikiran dan penjajahan peradaban. Tradisi ini merupakan tradisi yang berbeza dengan tradisi yang ketika ini sedang berkuasa. Yang pertama bermaksud memenjarakan dan yang kedua ingin menelanjanginya. Kedua-duanya sangat bertentangan dengan fitrah dan wahyu. Ada beberapa konsep yang perlu kita fahami di dalam Islam tentang wanita sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur'an dan Sunnah, salah satunya adalah kesamaan yang dikehendaki oleh Allah antara lelaki dengan wanita.
1. Kesamaan Dalam Taqwa.
Perbezaan lelaki dan wanita bukanlah suatu halangan bagi manusia untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah swt. Ini kerana Allah akan memuliakan siapa sahaja yang bertaqwa kepada-Nya, baik dari kalangan lelaki mahupun wanita serta dari pelbagai suku. Allah berfirman yang bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (QS 49:13). Meskipun demikian, aplikasi ketaqwaan antara lelaki dengan wanita biasanya ada perbezaan kerana tugas dan fungsinya yang berbeza. Sebagai contoh, dalam masalah keluarga, lelaki berkewajiban memberi nafkah, sedangkan wanita menerima dan memanfaatkan nafkah itu dengan sebaik-baiknya. Pembahagian tugas semacam ini merupakan sesuatu yang wajar kerana memang harus ada pembahagian tugas.
2. Kesamaan Dalam Amal.
Iman dan amal soleh merupakan sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Iman harus dibuktikan dengan amal yang soleh dan amal soleh harus dilandaskan kepada iman. Oleh kerana itu, siapa sahaja yang menunjukkan imannya dalam bentuk amal soleh, maka Allah akan memberikan balasan berupa kehidupan yang baik, baik lelaki mahupun wanita. Allah berfirman yang ertinya:
"Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (QS 16:97).
Oleh kerana itu, tidak ada seorang pun yang disia-siakan amalnya, dalam erti ada nilainya di hadapan Allah. Ini bererti lelaki dan wanita beramal soleh akan mendapatkan pahala kerana dalam beramal soleh itu, lelaki dengan wanita saling tolong menolong.
Allah juga ada berfirman yang bermaksud : Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain....." (QS 3:195)
3. Kesamaan Dalam Ibadah, Akhlak dan Sosial.
Kesamaan lelaki dengan wanita juga boleh diwujudkan dalam ibadah, akhlak dan sosial, meskipun berbeza secara teknik. Ini kerana Allah telah menentukan kesamaan, maka wanita juga akan mendapatkan ampunan dan pahala yang besar seperti yang diperoleh lelaki dan dalam hal ini telah difirmankan oleh Allah yang ertinya:
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar" (QS 33:35).
4. Kesamaan Dalam Dakwah dan Ketaatan.
Dakwah merupakan tugas yang sangat mulia kerana hal ini merupakan lanjutan dari tugas para Rasul. Itu sebabnya, tugas ini harus dikembang oleh kaum muslimin, baik lelaki mahupun wanita sebagai salah satu wujud dari ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Manakala hal ini sudah dilaksanakan dengan baik, maka ia menjadi salah satu kunci untuk memperoleh rahmat Allah seperti difirmankan yang ertinya: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (QS 9:71).
5. Kesamaan Dalam Dosa dan Pahala.
Dosa dan pahala merupakan sesuatu yang diperoleh masing-masing berdasarkan amal yang dilakukannya. Kerana itu, seseorang tidak boleh menanggung dosa orang lain atau orang lain yang beramal tetapi kita yang mendapatkan pahalanya. Dalam masalah dosa dan pahala, lelaki dan wanita akan mendapatkannya kerana tidak mungkin kita menganggap dosa kita ditanggung oleh seorang wanita atau mengatakan "gara-gara wanita saya menjadi berdosa".
6. Kesamaan Dalam Ilmu.
Memiliki ilmu yang banyak merupakan keharusan bagi setiap manusia dan dengan ilmu itu, manusia boleh mengerjakan amal soleh berdasarkan pada ilmu itu. Kewajiban menuntut ilmu bagi wanita sebagaimana lelaki dikemukakan dalam satu hadis yang ertinya: "Menuntut ilmu itu wajib bagi muslim (lelaki mahupun perempuan)." (HR. Ibnu Majah). Oleh kerana itu, lelaki dan wanita mempunyai hak yang sama untuk memperoleh ilmu dan dengannya boleh diamalkan.
HAK-HAK WANITA
Di samping adanya berbagai kesamaan kedudukan antara lelaki dengan wanita, secara khusus, terdapat hak-hak wanita yang tidak boleh disentuh, termasuk oleh lelaki.
1. Memiliki harta
Wanita berhak atas harta yang dimilikinya, baik pemberian orang lain mahupun atas usahanya sendiri. Kerana itu, wanita telah memiliki suami, suami tetap berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya meskipun si isteri memiliki harta yang banyak kerana wanita berhak atas harta yang dimilikinya. Sekiranya dia meninggal dunia dan meninggalkan harta warisan, maka harta warisan itu dibahagikan menurut ketentuannya dan suami merupakan di antara yang berhak atas harta warisan itu. Demikian pula sebaliknya, bila suami meninggal dunia, maka isteri berhak atas harta warisan dari harta yang ditinggalkan oleh suaminya.
2. Memilih jodoh
Wanita juga berhak untuk memilih jodoh dalam erti menerima atau menolak lamaran. Ini bererti ibu bapa tidak boleh sebarangan menerima lamaran daripada seorang lelaki meskipun dia menyenanginya. Ibu bapa harus meminta persetujuan dari anak perempuannya untuk menerima atau menolak lamaran, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seorang janda tidak boleh dinikahi hingga diajak musyawarah dan bila seorang gadis tidak boleh dinikahi hingga ia mengizinkan (persetujuan) nya dan tanda persetujuan seorang gadis adalah diam (ketika ditanya)." (HR. Tirmidzi dan Ibnu Majah). Bahkan dalam hal ini, wanita boleh sahaja menawarkan dirinya untuk dikahwinkan kepada seorang lelaki yang soleh, dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari, dikisahkan bahawa: Tsabit Al Bannani berkata: "Pada suatu hari aku duduk di dekat Anas r.a. Di sampingnya ada puterinya. Lalu Anas berkata: "seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk menawarkan dirinya kepada beliau. Wanita itu berkata:"Wahai Rasulullah, apakah engkau berminat kepadaku?". Lalu puteri Anas berkata: "Alangkah sedikitnya rasa malu perempuan itu, betul-betul buruk, betul-betul buruk". Anas berkata: "Dia lebih baik daripadamu. Dia senang kepada Nabi s.a.w., lalu dia menawarkan dirinya kepada baginda".
3. Meminta mahar
Dalam perkawinan, wanita dibolehkan menentukan atau memintakan mahar yang disukainya sehingga ia tidak memberatkan dalam erti sesuai dengan kemampuan calon suaminya, hal ini terdapat dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Amir bin Rabi'ah bahawa seorang wanita dari Bani Fazarah berkahwin dengan mahar sepasang kasut. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah engkau rela dari diri dan hartamu dengan sepasang kasut?" Perempuan itu menjawab: "Ya", lalu Rasulullah s.a.w. membolehkannya (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi).
4. Menuntut cerai
Seorang isteri tidak menyukai suaminya kerana terkeluar daripada landasan Islam dalam kehidupan peribadi dan keluarga muslim, maka seorang isteri boleh sahaja menuntut cerai dari suaminya dan dianggap itu merupakan cara terbaik untuk menghindari masalah tersebut. Namun apabila isteri minta cerai tanpa alasan kukuh, ia tidak dibolehkan di dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah seorang isteri minta cerai dari suaminya tanpa alasan (sebab yang dibenarkan), nescaya dia tidak akan mencium bau syurga yang dapat dirasakan pada jarak empat puluh tahun perjalanan." (HR. Ibnu Majah).
5. Mencari wang
Sebagaimana lelaki, wanita juga dibolehkan atau mempunyai hak untuk mencari wang selagi tidak mengganggu kewajibannya sebagai isteri dan ibu, apalagi wanita itu memiliki ilmu yang pemanfaatannya sangat diperlukan masyarakat seperti kedoktoran, kebidanan dan sebagainya. Dengan wang itu, wanita juga berhak untuk membelanjakannya, zakat, infak dan bersedekah. Allah berfirman yang ertinya: "Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (QS 4:32)
6. Menghadiri pertemuan umum
Untuk mendapatkan manfaat yang besar, para wanita juga berhak untuk menghadiri pertemuan yang bersifat umum seperti menghadiri majlis agama, mengikuti solat berjamaah di masjid meskipun wanita lebih baik solat di rumah dan sebagainya. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seorang isteri minta izin suaminya untuk pergi ke masjid, maka janganlah suami melarangnya." (HR. Bukhari).
No comments:
Post a Comment